Islam
menggalakkan walimatulurus adalah untuk merapatkan tali persaudaraan dan
menghebahkan mengenai perkahwinan yang diadakan. Penyediaan makanan kepada tetamu pula
dianggap satu tanda menzahirkan kegembiraan dan ingin berkongsi dengan tetamu
yang dihadir.
Keberkatan
dan kemuliaan majlis akan bertambah apabila tetamu yang dijemput termasuk di
kalangan golongan miskin dan fakir yang amat memerlukan makanan. Golongan ini jarang berpeluang menikmati
hidangan yang enak dan lazat. Inilah
juga peluang untuk golongan miskin dan kaya berada dalam majlis yang sama.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya malaikat tetap mendoakan seseorang selama
hidangan makanannya masih terhampar atau tersedia untuk tetamu.” (Hadis riwayat
Tarmizi).
Memandangkan
walimatulurus satu tuntutan agama, maka sesiapa yang dijemput haruslah
memenuhinya. Menjadi hak muslim
menunaikan jemputan muslim lain.
Sebuah
hadis diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Jika seseorang antara kamu dijemput ke
walimatulurus, maka hendaklah dia mendatangi majlis tersebut.”
Individu
menghadiri walimatulurus diharuskan membawa hadiah atau sumbangan. Pun
begitu, tuan rumah tidak harus mengharap mendapat hadiah atau sumbangan
daripada tetamu. Jamuan yang disediakan
itu hendaklah diniatkan sebagai sedekah tanpa mengharapkan balasan.
Budaya
mengadakan majlis walimatulurus seumpama satu ‘perniagaan’ mengharapkan
sumbangan daripada tetamu adalah bertentangan dengan tuntutan agama.
Di
sesetengah tempat, jika di kad jemputan ditulis 'walimatulurus' atau 'jemputan
majlis perkahwinan', maka dengan sendirinya membawa erti tetamu 'mesti' memberi
sumbangan. Manakala jika tertulis '
kesyukuran', tetamu faham jamuan 'percuma' untuk mereka.
Maka,
alangkah eloknya jika di setiap kad jamputan tertulis perkataan 'kesyukuran'
yang melegakan tetamu diundang. Apa
tidaknya, apabila tiba musim cuti sekolah, banyak orang mengeluh terpaksa
menyediakan peruntukan membeli hadiah atau sumbangan wang.
Mengadakan
walimatulurus hendaklah mengikut kemampuan. Amalan berhutang dan menggadaikan
harta demi mengadakan walimatulurus yang meriah dan hebat ditegah dalam
Islam.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Hamba-hamba Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan
hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah
sederhana.” (Surah al-Furqan, ayat 67).
Berkaitan
persandingan pengantin, ulama sepakat mengatakan hukumnya harus jika dilakukan
dengan tertib. Pakaian pengantin mesti
menutup aurat dan majlis persandingan juga mesti tidak mempamerkan unsur
membazir serta tidak bertujuan untuk bermegah-megah. Persandingan itu sekadar bertujuan ‘bersua
muka’ dengan tetamu yang hadir.
No comments:
Post a Comment