Wednesday 24 January 2018

FESYEN IKUT KEPERLUAN PEMAKAI

Secara zahirnya pakaian adalah perhiasan, melindungi diri daripada pengaruh cuaca dan bahaya, identiti budaya dan seragam khas.

Sesungguhnya, pakaian adalah satu anugerah Allah kepada manusia. Biarpun pakaian itu direka oleh manusia, hakikatnya ia diturunkan oleh Allah kepada manusia.  

Firman Allah SWT bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhiasan.” - (Surah al-Akraf, ayat 26).

Islam tidak menetapkan fesyen pakaian bagi umatnya. Bermakna semua fesyen boleh dipakai asalkan menepati konsep menutup aurat.

Kelonggaran ini memudahkan umat Islam membuat pilihan berdasarkan citarasa, budaya setempat, cuaca dan tujuan memakainya.

Rasulullah suka berhias dan bersyukur atas kurniaan Allah menjadikan pakaian sebagai satu perhiasan. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi pakaian ini kepadaku untuk menutup auratku, dan aku akan berhias diri dengannya selama hidupku.” - (Hadis riwayat Tirmizi).

Fesyen pakaian yang pelbagai jenis memberi keceriaan. Pemakainya lebih menarik dan cantik. Islam sukakan cantik dan bersih. 

Sebab itu umat Islam digalakkan memakai pakaian yang cantik-cantik, terutama ketika menyambut hari kebesaran seperti Aidilfitri.

Namun, dilarang memakai fesyen yang jelas menunjukkan agama pemakainya. Larangan itu bertujuan mengelak berlaku salah faham.

Memakai pakaian digunakan oleh penganut agama lain ketika upacara keagamaan, seperti reda dan berbangga dengan amalan agama itu. Sesiapa reda kepada agama lain, maka dia menjadi munafik.

No comments:

Post a Comment